Menyingkap kisah awal penubuhan kelab kesayangan SG ini, 15
Mac 1892 adalah tarikh kelahiran a.k.a penubuhan Liverpool FC. Ia bermula
apabila pemilik Anfield ketika itu... John Houlding telah berjaya menubuhkan
pasukan bolasepak sendiri selepas berlaku pertelingkahan dengan Everton F.C
yang sebelum ini menyewa padang di Anfield. Dalam tahun 1891 John Houlding membeli
tanah bersebelahan Anfield dan mencadangkan menaikkan sewaan daripada £100
kepada £250 setahun. Ahli-ahli kelab Everton membantah berpindah ke Goodison
Park.
Pasukan ditubuhkan oleh John Houlding pada asalnya hendak
didaftarkan atas nama Everton, tetapi ditolak oleh Persatuan Bolasepak England.
John McKenna dilantik menjadi Pengarah mengambil 13 orang pemain profesional
dari Scotland untuk menyertai Liverpool. John Houlding memilih nama Liverpool
untuk kelabnya. Pada tahun 1894, Liverpool dipilih untuk menyertai liga bola
sepak.
Permohonan Liverpool menyertai Liga Bola Sepak Inggeris pada
mulanya ditolak. Liverpool menyertai Liga Lancashire, dan dalam permainan
pertama mengalahkan Higher Walton 8-0 di Anfield. Gol pertama Liverpool dalam
perlawanan kompetitif disumbat Malcolm McVean. Dalam musim pertama Liga
Lancashire, Liverpool muncul juara. Liverpool juga mengalahkan Everton 1-0
dalam perlawanan akhir Liverpool Senior Cup, pertama kali kedua pasukan bertemu
dalam perlawanan “Derby”. Selepas kejayaan dalam liga Lancashire, Liverpool
dilantik menyertai Liga Bola Sepak Inggeris Divisyen 2.
Malcolm McVean menjaring gol pertama perlawanan Liga bila
Liverpool mengalahkan Middlesbrough Ironopolis. Liverpool mengakhiri musim
pertama mereka dengan rekod tanpa kalah dan menjuarai Divisyen 2 Liga Inggeris.
Dalam perlawanan ujian menentang Newton Heath (kemudiannya menjadi Manchester
United), Liverpool menang 2-0 dan dinaikkan untuk menyertai ke Divisyen 1 Liga
Bola Sepak Inggeris.
Dalam tahun 1896, Liverpool menukar jersi mereka daripada
biru dan putih kepada jersi merah dan putih. Dalam tahun 1901, Liverpool
memenangi kejuaraan pertama Liga, dan mengulangi pencapaian itu dalam tahun
1906. Liverpool pertama kali bertanding dalam perlawanan akhir Piala F.A. dalam
tahun 1914 tetapi tewas 1-0 kepada pasukan Burnley. Dalam tahun 1922 dan 1923,
Liverpool menang kejuaraan Liga Inggeris dua tahun berturut-turut. Tetapi
selepas itu, Liverpool ketandusan kejayaan sehinggalah menjadi juara semula
dalam tahun 1947.
JOHN HOULDING
John Houlding adalah
pemilik sebuah kilang membuat bir dan menjadi kaya setelah perniagaan berjaya,
membolehkan beliau hidup selesa. Beliau dilantik menjadi ahli Majlis Bandaraya
Liverpool sebagai wakil parti Konservatif untuk kawasan Everton. Dalam tahun
1897, beliau dilantik menjadi Datuk Bandar Liverpool.
Jika kita memahami sejarah penubuhan Liverpool, mungkin kita
beranggapan bahawa John Houlding ini adalah insan yang kejam lagi tamak.
Everton maju semasa berada di Anfield. Teres tempat duduk didirikan. Bilangan
penonton menjangkau kepada 8,000 orang setiap perlawanan. Everton menjadi ahli
asal yang beraksi dalam Liga Bola Sepak Inggeris dalam tahun 1888. Melihatkan
kejayaan Everton, John Houlding mula menaikkan sewa stadium, menaikkan kadar
faedah pinjaman beliau kepada Everton dan pemain-pemain dipaksa menggunakan
Hotel Sandon untuk menukar pakaian sebelum dan selepas bermain bola. Ini
membuatkan pemegang saham Everton naik berang dan menuduh John Houlding hanya
mengaut untung dari kejayaan mereka. Akhirnya Everton telah keluar dan membeli
padang baru di Goodison Park...YNWA
Credit to Kyo Reds VII (TIRF)
No comments:
Post a Comment